Langkau ke kandungan utama
نَحفَظNahfaz

91. Ash-Shams الشمس

Juga dikenali sebagai: Shams · makna: Matahari

Mushaf

15 ayat · Makkiyah

Surah

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

  1. وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا1

    Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;

  2. وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا2

    Dan bulan apabila ia mengiringinya;

  3. وَٱلنَّهَارِ إِذَا جَلَّىٰهَا3

    Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;

  4. وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰهَا4

    Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita),

  5. وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَىٰهَا5

    Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - yang melambangkan kekuasaanNya);

  6. وَٱلْأَرْضِ وَمَا طَحَىٰهَا6

    Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya);

  7. وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا7

    Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

  8. فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا8

    Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -

  9. قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا9

    Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

  10. وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا10

    Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

  11. كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِطَغْوَىٰهَآ11

    (Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas;

  12. إِذِ ٱنۢبَعَثَ أَشْقَىٰهَا12

    Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat),

  13. فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ ٱللَّهِ نَاقَةَ ٱللَّهِ وَسُقْيَـٰهَا13

    Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: “(Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!”

  14. فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُم بِذَنۢبِهِمْ فَسَوَّىٰهَا14

    (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).

  15. وَلَا يَخَافُ عُقْبَـٰهَا15

    Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).

Terjemahan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman - Abdullah Muhammad Basmeih

Teks Arab: Tanzil Project — Quran text (Uthmani) · v1.1

Tentang Surah Ash-Shams

Surah Ash-Shams ialah surah Makkiyah yang mengandungi 15 ayat. Surah ini berada dalam Juzuk 30, pada muka surat 595 mushaf.

Kandungannya

Surah Ash-Shams mengajar bahawa kejayaan datang dengan menyucikan jiwa, manakala merosakkannya membawa kerugian. Surah ini mengingatkan bagaimana kaum Thamud mendustakan rasul mereka dan membunuh unta betina, lalu mendatangkan azab Allah ke atas diri mereka.

Dalam Sunnah

Surah berkaitan