Langkau ke kandungan utama
نَحفَظNahfaz

90. Al-Balad البلد

Juga dikenali sebagai: Balad · makna: Kota

Mushaf

20 ayat · Makkiyah

Surah

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

  1. لَآ أُقْسِمُ بِهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ1

    Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

  2. وَأَنتَ حِلٌّۢ بِهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ2

    Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),

  3. وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ3

    Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

  4. لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ4

    Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

  5. أَيَحْسَبُ أَن لَّن يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ5

    Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?

  6. يَقُولُ أَهْلَكْتُ مَالًا لُّبَدًا6

    Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).

  7. أَيَحْسَبُ أَن لَّمْ يَرَهُۥٓ أَحَدٌ7

    Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?

  8. أَلَمْ نَجْعَل لَّهُۥ عَيْنَيْنِ8

    (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -

  9. وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ9

    Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?

  10. وَهَدَيْنَـٰهُ ٱلنَّجْدَيْنِ10

    Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

  11. فَلَا ٱقْتَحَمَ ٱلْعَقَبَةَ11

    Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;

  12. وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلْعَقَبَةُ12

    Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

  13. فَكُّ رَقَبَةٍ13

    (Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;

  14. أَوْ إِطْعَـٰمٌ فِى يَوْمٍ ذِى مَسْغَبَةٍ14

    Atau memberi makan pada hari kelaparan -

  15. يَتِيمًا ذَا مَقْرَبَةٍ15

    Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

  16. أَوْ مِسْكِينًا ذَا مَتْرَبَةٍ16

    Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

  17. ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْمَرْحَمَةِ17

    Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

  18. أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ18

    (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

  19. وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا هُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ19

    Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. -

  20. عَلَيْهِمْ نَارٌ مُّؤْصَدَةٌۢ20

    Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

Terjemahan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman - Abdullah Muhammad Basmeih

Teks Arab: Tanzil Project — Quran text (Uthmani) · v1.1

Tentang Surah Al-Balad

Surah Al-Balad ialah surah Makkiyah yang mengandungi 20 ayat. Surah ini berada dalam Juzuk 30, pada muka surat 594 mushaf.

Kandungannya

Surah Al-Balad mengingatkan manusia bahawa kehidupan penuh kesusahan dan Allah melihat bagaimana mereka menggunakan harta. Surah ini mengajak mereka memerdekakan hamba, memberi makan kepada anak yatim dan orang miskin ketika kelaparan, beriman, serta saling berpesan supaya bersabar dan berkasih sayang.

Surah berkaitan